Senin, 26 Maret 2018

4,358 akaun media sosial palsu diambil tindakan



KUALA LUMPUR 26 Mac – Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan terhadap 4,358 akaun media sosial palsu sejak Januari 2017 hingga bulan lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, sebanyak 80 peratus daripada jumlah tersebut telah dipadam oleh penyedia platform media sosial seperti Facebook dan Twitter kerana melanggar terma dan syarat ditetapkan oleh pembekal perkhidmatan masing-masing.



“Dalam tempoh yang sama juga, SKMM telah mengambil tindakan sekatan terhadap 40 laman sesawang, portal dan blog yang menyebarkan kandungan maklumat serta berita berunsur palsu,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad pada sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau meminta kerajaan menyatakan perancangan dalam menangani isu berkaitan penyebaran maklumat dan berita palsu yang semakin berleluasa di negara ini.

Jelas Salleh, sebanyak 45 kertas siasatan telah dibuka berkenaan kes penyebaran berita palsu di pelbagai platform media sosial yang mana empat kes telah dihadapkan ke mahkamah.

Dalam pada itu, menurut beliau, berdasarkan analisis yang dijalankan oleh SKMM, majoriti masyarakat negara ini memperoleh berita palsu daripada sumber aplikasi Whatsapp iaitu sebanyak 84 peratus diikuti Facebook (8 peratus), blog (4 peratus) dan lain-lain juga 4 peratus.

“SKMM akan terus memperkasa tindakan penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan terhadap sebarang salah laku di media sosial dan internet secara amnya menerusi Jawatankuasa Khas Jenayah Siber yang dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/4-358-akaun-media-sosial-palsu-diambil-tindakan-1.635341#ixzz5Atl8UkSv
© Utusan Melayu (M) Bhd